KANGAR: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) memperkenalkan logo baharu yang rekaannya lebih segar, moden dan penuh simbolik sebagai satu usaha memperkukuh identiti dan hala tuju peranannya menyemai perpaduan nasional.
Logo digunakan sejak tahun 2005 yang diganti baharu itu selaras dengan tema ‘Memperkasa Komuniti, Memperkukuh Perpaduan’.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, penjenamaan semula itu bukan sekadar perubahan visual, tetapi mencerminkan komitmen kementerian memperkukuh semangat kejiranan serta menggerakkan komuniti akar umbi ke arah masyarakat lebih harmoni, inklusif dan progresif.
Katanya, logo baharu yang diperkenalkan itu dibina berasaskan bentuk segi lima sekata, melambangkan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi tonggak kepadaperpaduan nasional.
Beliau berkata, bentuk itu menggambarkan kestabilan dan asas yang kukuh dalam membentuk sebuah negara yang harmoni dan dinamik.
Ujar beliau, di tengah logo tersebut pula terpapar lima figura manusia yang berganding bahu, melambangkan kepelbagaian kaum di Malaysia yang hidup dalam suasana muafakat.
“Figura ini dibentuk daripada garisan putih yang bersambung, melambangkan jiwa murni, ketelusan, saling mempercayai serta kesatuan dalam kepelbagaian. Warna merah pula menggambarkan semangat jati diri yang tidak pernah luntur, mencerminkan semangat rakyat Malaysia dalam mempertahankan keamanan dan keharmonian negara.
“Kementerian Perpaduan Negara yakin bahawa pelancaran logo baharu ini akan memberi nafas baharu kepada gerakan perpaduan negara, terutama dalam memperkasakan peranan komuniti sebagai ejen penyatuan dan keharmonian. Dengan wajah baharu ini, KRT diharapkan dapat terus memainkan peranan lebih aktif dan berkesan dalam membentuk komuniti yang peka, bersatu dan sejahtera.
“Kementerian menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mendukung nilai-nilai perpaduan, menjadikan Rukun Negara sebagai panduan bersama dan berganding bahu untuk membina masa depan negara yang lebih aman dan makmur,” katanya di sini hari ini.
Penubuhan KRT pada tahun 1975 merupakan salah satu langkah strategik kerajaan pasca peristiwa 13 Mei 1969 untuk mengukuhkan semula perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Ia bertujuan untuk menyemai semangat kejiranan, menyatukan komuniti serta memelihara keharmonian dan keselamatan di peringkat lokaliti.
Melalui pendekatan berbentuk komuniti, KRT diwujudkan sebagai platform menyelesaikan isu-isu setempat, menganjurkan aktiviti sosial dan menjalin hubungan erat antara penduduk tanpa mengira latar belakang.
Sejak penubuhannya, KRT telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan dalam menyemarakkan perpaduan di peringkat akar umbi dan antara kejayaan utama termasuk peningkatan tahap keharmonian dan toleransi antara kaum hasil daripada pelbagai program sosial dan kebudayaan yang dijalankan.-UTUSAN