GEORGE TOWN : Sebuah kren pembinaan dipercayai tergelincir sebelum terbalik dan melintangi jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas pagi tadi sehingga menyebabkan aliran trafik di kawasan itu terganggu hampir beberapa jam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira pukul 9.10 pagi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru kemudian dikerah ke lokasi kejadian. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerja-kerja mengalihkan kren yang terbalik itu dilakukan dengan bantuan dua buah kren milik swasta sebelum anggota bomba yang bertugas melakukan kerja-kerja pembersihan sisa minyak yang tertumpah di lokasi kejadian.
“Operasi pembersihan tamat sepenuhnya pada pukul 2.05 petang dengan dibantu oleh beberapa agensi lain termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN