PETALING JAYA: Malaysia mencadangkan tujuh tonggak utama kerjasama negara-negara Islam dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi masa hadapan.
Cadangan itu dikemukakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi OIC-15 ke-2 di Tehran, Iran pada 18 hingga 19 Mei lalu.
Antaranya tujuh cadangan itu adalah reka bentuk kurikulum bersama dalam bidang AI, etika data dan kemanusiaan digital, penubuhan hab penyelidikan dan inovasi rentas negara, gerakan celik AI yang inklusif di seluruh negara anggota dan penubuhan Dana Solidariti Digital OIC-15 Indeks Kesiapsiagaan Digital OIC.
Selain itu pembentukan Konsortium Keselamatan Siber OIC, penubuhan Unit Foresight OIC-15 bagi merancang masa depan teknologi Islam dan dana Inovasi Krisis untuk menyokong komuniti terkesan seperti Gaza.
Zambry berkata, Malaysia turut menawarkan kerjasama dalam bentuk biasiswa, program mobiliti dan AI Fellowship bagi menyokong pembangunan bakat bersama negara anggota OIC-15.
“Sains dan teknologi telah menjadi asas ketamadunan Islam dan kini adalah tanggungjawab bersama negara-negara OIC-15 untuk memulihkan semula kepimpinan ini melalui pendekatan yang holistik, beretika dan berteraskan nilai Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Zambry mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian di samping mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran, Hossein Simayi Saraf bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang tenaga mahir, sains dan teknologi antara kedua-dua negara.
Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi OIC-15 kali ke-3 dijadualkan akan berlangsung di Arab Saudi sebagai kesinambungan kepada usaha kolektif memperkasa ummah dalam era Revolusi Industri Keempat. – UTUSAN