KPN peroleh kebenaran ketiga mulakan komital terhadap Papagomo

KPN peroleh kebenaran ketiga mulakan komital terhadap Papagomo

TAN SRI RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap blogger Wan Muhammad Deris Wan Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo buat kali ketiga.

Kali pertama, Razarudin mendapat kebenaran komital terhadap lelaki berkenaan adalah pada 24 Januari lalu selepas Papagomo melanggar perintah injunksi yang dikenakan terhadapnya.

Perintah injunksi yang diperoleh Razarudin pada 31 Disember 2024 berkaitan dengan kes saman fitnah RM3 juta antara lain melarang dan menghalang blogger itu daripada menerbit atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan.

Pada pendengaran permohonan komital pada 30 April lalu, Papagomo telah memohon maaf secara terbuka di mahkamah atas perbuatannya dan turut diperintahkan untuk menerbitkan penyataan maaf di media sosialnya selama tujuh hari serta memadamkan video dan gambar Razarudin yang telah disunting blogger itu.

Bagaimanapun, sehari selepas permohonan maaf itu dibuat, Papagomo sekali lagi melanggar perintah yang dikenakan terhadapnya menyebabkan Razarudin memohon kebenaran buat kali kedua bagi memulakan prosiding komital terhadap lelaki itu.

Pada prosiding hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong memberikan kebenaran itu selepas mendengar hujah peguam, Raam Kumar yang mewakili pegawai polis tertinggi itu yang dibuat secara sebelah pihak (ex-parte).

Razarudin memohon Papagomo dikenakan perintah pengkomitan susulan penerbitan video bertarikh 1 Mei lalu yang turut mengandungi permohonan maaf yang dibacakan di mahkamah dan diiringi muzik latar, lagu `Maafkan Kami’ oleh Tan Sri P. Ramlee daripada filem klasik Pendekar Bujang Lapok.

Jelas Razarudin, penerbitan video itu menunjukkan Papagomo sebenarnya langsung tidak berasa kesal melanggar perintah injunksi dan memberikan gambaran palsu apabila menyatakan hanya meminta maaf kepada mahkamah dan bukannya kepadanya (Razarudin).

Tindakan tersebut seolah-olah Papagomo telah memperdayakan mahkamah untuk menerima permintaan maaf berkenaan.

Katanya, Papagomo yang juga defendan juga memberi gambaran palsu kononnya beliau (Razarudin) telah memohon dan berniat jahat untuk memasukkan dia ke Penjara Sungai Buloh.

Menurut saman itu, Razarudin mendakwa Papagomo telah mengeluarkan kenyataan yang melabelkan plaintif sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan, video, status serta komen itu berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara.

Papagomo juga diperintah menarik balik, menurun dan memadamkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember 2024 yang mengandungi kenyataan fitnah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN