KPKT teruskan penganjuran AKM dan AKeMedia buat tahun ketiga

KPKT teruskan penganjuran AKM dan AKeMedia buat tahun ketiga

NGA Kor Ming merasmikan Majlis Pra Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) 2025, di Putrajaya hari ini. UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneruskan penganjuran edisi ketiga Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) bagi tahun 2025.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, penganjuran AKM 2025 dan AKeMedia 2025 adalah bertujuan menyokong agenda dan aspirasi Malaysia MADANI dengan menampilkan anugerah-anugerah yang lebih inklusif dan progresif.

Beliau berkata, bagi AKM 2025, sebanyak 10 kategori anugerah bakal direbut warga KPKT termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

“Menerusi AKM tahun ini, KPKT berhasrat mengiktiraf PBT-PBT yang berprestasi tinggi dan berdaya maju dalam melonjakkan kualiti perkhidmatan serta keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan masing-masing.

“Penyertaan AkKM 2025 terbuka kepada warga KPKT dan PBT dan syarat serta permohonan boleh dicapai dengan melayari laman web KPKT manakala, penyertaan pula dibuka sehingga 16 September  2025,” katanya pada Majlis Pra Pelancaran AKM 2025 dan AKeMedia 2025 di sini hari ini.

Katanya, penerima anugerah akan diberikan penghargaan dan ganjaran dalam bentuk hadiah wang tunai bernilai sehingga RM20,000, sijil penghargaan, trofi dan kursus jangka pendek di universiti ternama di luar negara seperti Harvard University dan Melbourne Business School bagi kategori terpilih.

Dalam pada itu, bagi kategori AKeMedia 2025 pula, Kor Ming berkata, majlis penganugerahan akan berlangsung pada 3 November depan melibatkan kerjasama antara KPKT dan Malaysian Press Institute (MPI).

Katanya, setiap penyertaan media dinilai secara teliti mengikut tahap piawaian penjurian berkualiti tinggi oleh juri profesional dan berpengalaman sebelum dinobatkan sebagai penerima anugerah berprestij ini. 

“Semua pemenang akan menerima trofi serta hadiah berupa wang tunai RM3,000 manakala, penerima Anugerah Khas YB KM bakal menerima wang tunai berjumlah RM10,000.

“Pencalonan adalah untuk karya-karya yang diterbit dan disiar mulai 1 September 2024 sehingga 31 Ogos 2025 manakala, tarikh tutup penyertaan pula adalah 16 September 2025,” katanya.

Katanya, sebanyak lapan kategori anugerah bakal direbut termasuk Anugerah Khas Menteri, Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik, Anugerah Video Portal / Dalam Talian Terbaik, Anugerah Penyiaran Radio Terbaik, Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik, Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik, Anugerah ‘Content’ Media Sosial Terbaik dan Anugerah Influencer Terbaik.

Jelasnya lagi, penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia yang berkhidmat sebagai wartawan, pengamal media yang bekerjasepenuh masa, stringer, dan wartawan sambilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN