Konflik Palestin-Israel: Penyelesaian dua negara disokong pemimpin ASEAN-GCC-China

Konflik Palestin-Israel: Penyelesaian dua negara disokong pemimpin ASEAN-GCC-China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China menyaksikan kesepakatan pemimpin serantau untuk menyokong penuh penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan pra-1967, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut kenyataan bersama selepas Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China sulung di ibu negara semalam, para pemimpin juga mengambil maklum Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 19 Julai 2024 yang menyatakan kehadiran Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Katanya, para pemimpin menuntut tindakan segera diambil oleh Perhimpunan Agung serta Majlis Keselamatan PBB untuk menamatkan pendudukan tersebut.

“Pendirian kami jelas. Palestin berhak menentukan masa depannya dan memiliki negara yang merdeka serta berdaulat,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, para pemimpin turut mengalu-alukan inisiatif diplomatik oleh Arab Saudi, Kerajaan Norway dan Kesatuan Eropah (EU) dalam membentuk pakatan global ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Katanya, para pemimpin juga menyokong kemasukan Palestin sebagai anggota penuh PBB melalui Resolusi A/RES/ES-10/23 bertarikh 10 Mei 2024.

“Para pemimpin menyokong usaha pakatan global dalam pelaksanaan penyelesaian dua negara dan mengambil maklum inisiatif krajaan Arab Saudi bersama Norway dan Kesatuan Eropah ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya.

Selain itu, para pemimpin menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik Palestin-Israel menghormati prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi berkaitan yang digariskan oleh Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB.

“Mereka turut mengalu-alukan Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diluluskan pada 11 Disember 2024, yang menyeru agar gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan dilaksanakan di Gaza.

“Mereka berharap semua pihak agar membenarkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) melaksanakan mandatnya di semua kawasan operasi dengan sepenuh hormat terhadap prinsip kemanusiaan iaitu kemanusiaan, berkecuali, tidak berpihak dan berdikari,” katanya.

Langkah itu dilihat sebagai satu lagi tekanan diplomatik kepada masyarakat antarabangsa untuk bertindak lebih tegas terhadap isu berpanjangan di wilayah Palestin yang terus menyaksikan penderitaan rakyat awam akibat keganasan dan sekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN