PUTRAJAYA: Pengamal perubatan am (GP) swasta menolak pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) terhadap profesion perubatan kerana ia dianggap seperti menyamakan sektor perubatan seperti ‘kedai runcit’.
Jurucakap kumpulan yang juga bakal Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. R Thirunavukarasu berkata, pihaknya dan GP swasta tidak menolak saranan kerajaan memaparkan harga ubat sebaliknya menyokong ketelusan tetapi terkilan sebab menyamakan perkhidmatan profesional dengan jual barang (di kedai runcit).
“Kita sokong ketelusan daripada segi sektor kesihatan yang sudah ada dalam Akta 586 tetapi terkilan sebab samakan perkhidmatan profesional dengan jual barang (di kedai runcit).
“GP menawarkan perkhidmatan perubatan dan profesional kepada orang awam. Untuk membuka klinik swasta memerlukan pengalaman serta kepakaran lebih 10 tahun dan perlu A-Levels atau pendidikan tertinggi serta lima tahun dalam kolej perubatan sebelum berkhidmat beberapa tahun sebagai doktor perubatan.
“Kalau sekarang, siapa-siapa boleh pun buka kedai runcit. Jadi, tak bolehlah samakan profesion doktor dengan penjual barang runcit,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri, pada perhimpunan aman yang turut disertai 200 GP di hadapan Bangunan Perdana Putra, bagi memohon kerajaan menyemak semula penggunaan Akta 723 dalam profession perubatan negara, semalam.
Dr. R Thirunavukarasu berkata, kenyataan berkenaan bukan hanya daripada suara 500 GP yang hadir pada himpunan berkenaan, sebaliknya 12,000 klinik swasta di seluruh negara.
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan menguatkuasakan Akta 723 yang mewajibkan premis perubatan am memaparkan harga ubat mulai 1 Mei lalu sedangkan menurut Dr. R Thirunavukarasu, penguatkuasaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang sedia ada sudah memadai.
Menurutnya, Akta 586 turut merangkumi ketelusan yang memberi hak kepada pengguna untuk mengetahui harga ubat dan menteri kesihatan juga mempunyai kuasa untuk membuat sebarang perubahan dan ketelusan dari segi sektor kesihatan yang sudah ada dalam Akta berkenaan.
Sementara itu, memorandum diserahkan Dr. Thirunavukarasu kepada Setiausaha Sulit Kanan Kepada Perdana Menteri, Aznur Hafeez Kaswuri dan Pengarah Bahagian Pengurusan Pejabat Perdana Menteri, Mohd. Khalil Zaiyany Sumiran.
Terdahulu, lebih 200 kumpulan doktor dan pengamal perubatan mula berhimpun sekitar pukul 9.30 pagi sebelum bersurai secara berperingkat mulai pukul 11.30 pagi semalam.
Mereka bersurai sebaik sahaja 10 daripada wakil selesai bertemu dan menyerahkan memorandum berkaitan perkara itu kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Bangunan Perdana Putra di sini.
KKM melaksanakan peraturan baharu bermula 1 Mei lalu, yang mewajibkan semua klinik dan farmasi swasta memaparkan harga ubat-ubatan, dengan tujuan meningkatkan ketelusan dan membantu pengguna membuat pilihan berdasarkan harga.
Langkah ini dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), dengan objektif meningkatkan ketelusan dalam urus niaga dan membolehkan pengguna membuat perbandingan harga.
Bagaimanapun, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata arahan itu tidak praktikal kerana harga ubat bergantung pada kos pembekalan dan faktor pasaran.
Mereka bimbang maklumat harga dipaparkan boleh mengelirukan pesakit dan menimbulkan salah faham. – UTUSAN