KJ nafi sertai semula UMNO

KJ nafi sertai semula UMNO

KHAIRY Jamaluddin ditemui pada forum mengenai kos penjagaan kesihatan di UM, Petaling Jaya, Selangor. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menafikan desas-desus akan menyertai semula parti itu dalam masa terdekat.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau perlu memberi fokus terhadap beberapa projek yang masih tertangguh.

“Buat masa sekarang, banyak projek dan perniagaan tertangguh yang perlu diuruskan. Saya perlu memberikan fokus dan masa serta akan sibuk sehingga hujung tahun ini.

“Saya gembira dengan apa yang saya buat sekarang dan tidak terfikir untuk menyertai semula parti politik,” katanya ketika ditemui selepas menyertai forum mengenai kos penjagaan kesihatan di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Sejak semalam, timbul desas-desus yang mendakwa Khairy dalam proses kembali menyertai UMNO selepas lebih dua tahun dipecat.

Usaha membawa pulang bekas Ahli Parlimen Rembau itu ke pangkuan UMNO dikatakan bermula selepas pemergian bapa mentuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dakwaan itu juga timbul selepas namanya dikatakan antara calon paling sesuai menggantikan portfolio Menteri Ekonomi, menggantikan Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli yang meletakkan jawatan.

Ditanya kesediaan sekiranya diberikan peluang kedua, Khairy berkata, beliau terbuka dengan sebarang perbincangan selepas mempunyai masa terluang.

“Lihat dulu bagaimana sebab saya sibuk sekarang sehingga hujung tahun ini. Selepas itu, kita boleh bincang (sertai semula UMNO),” katanya ringkas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN