Kiosk Sentuhan Madani catat peningkatan transaksi 40 peratus 

Kiosk Sentuhan Madani catat peningkatan transaksi 40 peratus 

GOBIND Singh Deo
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah transaksi penggunaan Kiosk Sentuhan MADANI di Alamanda, Putrajaya meningkat lebih 40 peratus sejak ia mula dilancarkan Januari lalu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, peningkatan itu petunjuk kukuh inisiatif digital yang dibawakan kerajaan melalui Belanjawan 2025 berjaya memberi nilai tambah kepada rakyat dalam berurusan dengan agensi kerajaan.

“Sejak peluncuran pada Januari lepas, penggunaan Kiosk Sentuhan MADANI Alamanda telah meningkat sebanyak 40 peratus daripada 4,600 kepada 6,600 transaksi pada Mac 2025. 

“Di KL Sentral pula, penggunaan sudah mencecah 5,000 transaksi pada bulan pertama,” katanya ketika melancarkan Kiosk Sentuhan MADANI di One Utama, disini hari ini.

Menurut Gobind, kiosk sentuhan MADANI ini merupakan lokasi ketiga yang dilaksanakan oleh kerajaan dan akan beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Menurutnya, sebanyak enam agensi terlibat dalam penyeliaan kiosk digital itu iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), MyDigital ID, Pos Malaysia dan TM Unifi. 

“Bukan itu sahaja, lebih 100 perkhidmatan ditawarkan secara berpusat dan tanpa perlu berurusan di kaunter fizikal kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kerajaan bercadang untuk memperluaskan lagi inisiatif tersebut ke lokasi-lokasi lain di seluruh negara.

Beliau memaklumkan bahawa pemasangan kiosk seterusnya dirancang di Plaza Angsana, Johor Bahru pada Ogos depan.

“Kita juga merancang untuk membuka lebih banyak Kiosk Sentuhan MADANI menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN