GOPENG: Khidmat kaunseling kepada waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan minggu lalu akan diberikan selagi diperlukan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah berhubung serta menemui ahli keluarga selepas kejadian itu berlaku pada Selasa lalu.
“Kaunseling di bawah JKM akan dilaksanakan secara berterusan bukan sekadar sehari dua tetapi selagi diperlukan waris atau mangsa yang cedera.
“Sesi itu bukan sahaja melibatkan balu malah melibatkan anak-anak, ibu bapa dan pasangan mangsa memandangkan ada dalam kalangan mereka berdepan trauma akibat kejadian berkenaan,” katanya kepada pemberita di Kampung Sungai Itek di sini hari ini.
Beliau melawat dan menyampaikan bantuan kepada balu Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri iaitu Norazian Mohd. Joned, 38.
Yang turut hadir, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin.
Noraini berkata, Yayasan Kebajikan Negara turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada waris selain bantuan segera yang telah diberikan oleh JKM.
Sementara itu, Norazian bersyukur dengan bantuan yang diberikan dan mengakui belum pulih sepenuhnya kerana tragedi yang menimpa suaminya.
Dalam kejadian di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan pada Selasa minggu lalu, kenderaan membawa 18 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Sungai Senam, Ipoh terlibat kemalangan dengan sebuah lori muatan batu.
Kemalangan mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian sementara seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.
Nahas berlaku ketika trak yang dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. – UTUSAN