12 tentera Turkiye maut terhidu gas metana di gua Iraq - Utusan Malaysia

12 tentera Turkiye maut terhidu gas metana di gua Iraq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Seramai 12 anggota tentera Turkiye terkorban selepas terhidu gas metana semasa menjalankan operasi pencarian di sebuah gua di utara Iraq, menurut Kementerian Pertahanan Turkiye dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, lapor agensi berita Xinhua.

Insiden berlaku ketika operasi pencarian dan pembersihan dalam kawasan Operasi Claw-Lock yang sedang dilaksanakan oleh tentera Turkiye terhadap kumpulan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan.

Menurut kementerian, gua berkenaan sebelum ini pernah digunakan sebagai hospital oleh anggota PKK dan sudah dibersihkan oleh tentera Turkiye.

Ketika kejadian, tentera melakukan pemeriksaan lanjut bagi mencari mayat seorang leftenan pertama yang terbunuh pada tahun 2022.

Sebanyak 19 anggota tentera terhidu gas metana dalam gua itu dan segera dikejarkan ke hospital untuk rawatan, namun 12 daripada mereka disahkan meninggal dunia walaupun menerima rawatan perubatan.

Operasi Claw-Lock dilancarkan oleh Turkiye pada tahun 2022, menyasarkan lokasi persembunyian PKK di kawasan pergunungan Metina, Zap dan Avasin-Basyan di utara Iraq, berhampiran sempadan Turkiye.

PKK, yang disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Turkiye, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, telah menjalankan pemberontakan bersenjata terhadap kerajaan Turkiye sejak lebih 40 tahun lalu.

Bagaimanapun, pada Mei lalu, PKK mengumumkan keputusan untuk membubarkan organisasi tersebut dan menamatkan pemberontakan mereka, meskipun tentera Turkiye masih meneruskan operasi ketenteraan di kawasan yang dikenal pasti sebagai bekas kubu kumpulan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×