Keterangan Jovian lepas raya Aidiladha

Keterangan Jovian lepas raya Aidiladha

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemungkinan akan memanggil individu lain bagi membantu siasatan pengisytiharan harta membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mana-mana individu yang dinamakan oleh Ismail Sabri akan dirakam keterangan. 

“Selain itu, SPRM akan merakam keterangan bekas menantu iaitu Datuk Jovian Mandagie beberapa hari selepas sambutan Hari Raya Aidiladha di Indonesia. 

“Sesi rakaman keterangan itu penting bagi mengesahkan aset-aset yang dinyatakan oleh Ismail Sabri dalam pengisytiharan kepada SPRM pada 10 Februari lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Menurutnya, pihak SPRM masih meneliti beberapa aspek dalam perisytiharan tersebut termasuk pembelaan yang dikemukakan Ismail.

“Selain keterangan saksi, SPRM masih berusaha mendapatkan beberapa dokumen perbankan yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan,” katanya. 

Ahli Parlimen Bera disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 3 Mac lalu, Azam memaklumkan, Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram (kg) jongkong emas di dalam sebuah “safe house”, hasil serbuan SPRM.

SPRM dipetik berkata, wang tunai yang dirampas itu meliputi nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN