Kesihatan swasta: Akta 723 bukan medium sesuai - CCC

Kesihatan swasta: Akta 723 bukan medium sesuai – CCC

TARMIZI ANUWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan peraturan pemaparan harga perkhidmatan dan ubat-ubatan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) adalah tidak sesuai dan boleh memberi kesan negatif kepada kualiti dan daya saing perkhidmatan kesihatan bagi jangka masa panjang.

Wakil Pusat Pilihan Pengguna (CCC) Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, Akta 723 lebih tertumpu kepada kawalan harga barangan asas serta pencatutan, dan bukan untuk mengurus struktur pasaran perkhidmatan kesihatan yang lebih kompleks.

“Terdapat risiko besar jika peraturan ini terus diletakkan di bawah akta tersebut, kerana ia boleh menyebabkan kekurangan bekalan ubat, mengekang inovasi atau menurunkan mutu perkhidmatan kesihatan akibat tekanan untuk menurunkan harga.

“Justeru, semakan semula peraturan ini perlu dilakukan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang lebih sesuai untuk menangani isu-isu berkaitan fasiliti kesihatan swasta.

“Mengawal harga ubat melalui perintah kawalan harga akan mematikan inovasi dan pelaburan dalam sektor kesihatan swasta serta menyebabkan kekurangan yang meluas. Dalam jangka panjang, pengguna juga yang akan menerima kesan walaupun bukan dalam bentuk harga murah, tetapi dalam bentuk kualiti perkhidmatan yang merosot,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tarmizi turut menggesa agar kadar yuran perundingan tidak ditetapkan oleh kerajaan, sama ada dalam bentuk kadar minimum atau maksimum.

Jelasnya, penetapan harga yuran harus ditentukan oleh pasaran, berdasarkan faktor-faktor seperti kualiti perkhidmatan, kepakaran doktor, dan lokasi sekali gus mendorong sektor swasta untuk lebih berdaya saing dan secara tidak langsung memberi pilihan kepada pengguna.

“Apabila sektor swasta berdaya saing, ia akan membantu mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam, dengan menyediakan lebih banyak pilihan perkhidmatan dan mengurangkan masa menunggu untuk pengguna.

“CCC menyokong pendekatan kesihatan awam berasaskan pasaran yang menekankan ketelusan, pilihan pengguna, dan persaingan sihat.

“Langkah pemaparan harga adalah penting, tetapi harus dilaksanakan dalam kerangka perundangan yang tepat agar tidak menjejaskan akses, kualiti dan pelaburan dalam sektor kesihatan swasta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN