PETALING JAYA: Tokoh korporat bergelar Tan Sri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengubahan wang haram membabitkan pemilikan saham Sapura Energy Berhad (SEB) bernilai lebih RM500 juta berkemungkinan dipanggil semula.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan individu dibuat.
Katanya, siasatan masih berjalan dan sebarang spekulasi perlu dielakkan bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa gangguan.
“SPRM belum melakukan sebarang tangkapan, namun tidak menolak kemungkinan memanggil semula Tan Sri terbabit selain ahli keluarga, serta bekas ahli lembaga pengarah SEB untuk rakaman keterangan.
“Kes ini dilihat sebagai ujian integriti tadbir urus korporat dan ketelusan pengurusan dana awam dalam syarikat tersenarai Malaysia,” katanya di sini.
Media sebelum ini melaporkan SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap Tan Sri terbabit.
Tokoh korporat itu telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM untuk rakaman percakapan pada 5 dan 6 Mei lalu bagi membantu siasatan.
Selain itu, SPRM turut mengambil tindakan pembekuan ke atas 83 akaun bank milik lima individu dan 15 syarikat melibatkan nilai kira-kira RM158.26 juta.
Fokus siasatan SPRM adalah terhadap kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan salah guna kuasa dalam isu ganjaran (gaji, bonus dan syer), yuran penjenamaan (branding fee) dan penempatan persendirian (private placement) dari tahun 2012 hingga 2021. – UTUSAN