KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghantar Bantuan Undang-undang Bersama (MLA) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memperoleh dokumen serta bukti di luar negara untuk siasatan kes pemilikan saham Sapura Energy Berhad (SEB) bernilai lebih RM500 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bukti itu membabitkan dokumen kewangan yang dikesan berada di negara luar.
Katanya, siasatan kes masih berjalan dan berkemungkinan lebih ramai saksi akan dipanggil selepas ini.
Azam memberitahu, proses analisis kewangan juga sedang giat dijalankan terhadap dokumen-dokumen kewangan yang diperoleh sebelum ini.
“Kita juga sedang mendapatkan dokumen-dokumen yang boleh dikaitkan dengan siasatan ini yang berada di negara luar.
“Tindakan ini sedang diuruskan SPRM dengan AGC. Semua kena tahu dalam kita untuk dapatkan bukti dari luar negara adalah memerlukan kuasa dan kelulusan AGC,” katanya ketika ditemui selepas Peluncuran Polisi Integriti di Universiti Islam Selangor (UIS) di sini, hari ini.
Tambah Azam, kertas siasatan masih dalam proses disiapkan sebelum dirujuk ke AGC untuk tindakan selanjutnya.
“Kita perlu bawa perkara ini kepada AGC dan sekiranya mereka bersetuju, saya harap tindakan itu dapat dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” jelasnya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, siasatan SPRM terhadap kes itu tertumpu kepada unsur rasuah bernilai jutaan ringgit yang melibatkan beberapa syarikat berpangkalan di luar negara.
SPRM sedang mendapatkan keterangan dan dokumen penting yang dipercayai berada di Singapura, Belanda dan Brazil.
Sebanyak 83 akaun bank dibekukan melibatkan lima individu dan 15 syarikat dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM158.26 juta.
Siasatan terhadap tokoh korporat terlibat menjurus kepada isu ganjaran seperti gaji, bonus dan saham yang diterima secara meragukan termasuk yuran penjenamaan (branding fee) dan penempatan persendirian (private placement).
Difahamkan, kesalahan yang disiasat melibatkan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkait dengan salah guna kuasa.
Pada masa sama, siasatan turut menyentuh unsur pecah amanah, pemalsuan dokumen dan salah guna dana di bawah peruntukan Kanun Keseksaan.
Individu itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 5 dan 6 Mei lalu untuk dirakam keterangan, namun belum ada tangkapan dibuat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan pada Mac lalu berkata, kerajaan telah memulakan audit forensik ke atas SEB melalui pelantikan firma audit antarabangsa, Ernst & Young bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam penstrukturan semula syarikat tersebut.
Menurut Anwar, suntikan modal berjumlah RM1.1 bilion kepada SEB bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya merupakan pinjaman yang perlu dibayar semula. – UTUSAN