PUTRAJAYA: Bahagian Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini sedang meneliti impak penguatkuasaan dan perundangan sedia ada melibatkan penyalahgunaan vape terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia susulan daripada beberapa isu yang tular sebelum ini memaparkan sekumpulan pelajar sekolah sedang menghisap vape dan seorang lelaki yang meninggal dunia didakwa akibat penggunaan peranti elektronik tersebut.
Jelasnya, hasil daripada penelitian dan perbincangan itu kemudiannya akan dibentangkan kepada jawatankuasa membabitkan kajian vape dan rokok yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Dr. Ismuni Bohari bersama Pakar Perunding Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.
“Saya yakin dapat maklumkan dalam sedikit waktu lagi, apakah kecenderungan, polisi, dasar atau pun penegasan berhubung perkara ini.
“Mereka akan bermesyuarat dalam waktu terdekat, seterusnya akan dapat memberikan beberapa pandangan dan syor ke pada (saya dan kementerian),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Institut Kanser Negara di sini hari ini.
Minggu lalu, tular di laman sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki yang lengkap berpakaian sekolah secara bersahaja dipercayai sedang menghisap rokok elektronik.
Berdasarkan video tersebut, pelajar lelaki terbabit turut dilihat berkongsi peranti tersebut antara satu sama lain. – UTUSAN