Kes culik : Mahkamah tolak permohonan jaminan lima sekeluarga 

Kes culik : Mahkamah tolak permohonan jaminan lima sekeluarga 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan jaminan lima sekeluarga yang didakwa menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada bulan lalu. 

Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi berkata, jaminan tidak sepatutnya ditawarkan  kerana kesalahan dilakukan kesemua tertuduh merupakan kesalahan yang tidak dibenarkan jaminan, melainkan atas budi bicara mahkamah. 

Jelas beliau, hukuman di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 iaitu penjara minimum 30 tahun jika sabit kesalahan menunjukan keseriusan kesalahan terbabit.

Peguam, Low Carmen yang mewakili kesemua tertuduh kemudian merayu supaya mahkamah membenarkan jaminan, terutama bagi kedua-dua tertuduh wanita kerana ia diperuntukkan di bawah Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun pihak pendakwaan memberitahu, tertuduh pertama iaitu seorang wanita, D. Sasveena adalah dalang kepada perbuatan jenayah yang didakwa dan tidak sepatutnya diberikan jaminan. 

Jelas Low Carmen, tiada bukti menunjukkan tertuduh adalah dalang utama dan untuk menyatakannya pihak pendakwaan perlu membuktikan keraguan munasabah. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama, Sasveena, 31; T. Boharaj, 32; Farhin Muhamad Ariffin, 23; dan dua beradik P. K. Koshenn Kumar, 21, serta P. K. Siveeshinaa, 23 dengan niat bersama menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan cara melarikannya bagi tujuan menuntut wang tebusan RM2 juta. 

Kesalahan itu dilakukan  di hadapan sebuah salun rambut di Jalan S2 B10, Uptown Avenue Seremban 2 kira-kira pukul 5.45 petang pada 10 April lalu.

Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini media melaporkan, penjenayah terbabit kes penculikan remaja berkenaan menyembunyikan mangsa dengan memasukkannya ke dalam beg pakaian.

Tindakan itu bertujuan mengelak dikesan pihak berkuasa dan orang awam ketika memindahkan mangsa daripada kenderaan milik suspek ke sebuah rumah di lokasi mangsa disorokkan.

Pada 14 April, polis menembak mati seorang lelaki di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor dipercayai terlibat dengan kes penculikan itu. 

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 9 Jun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN