PETALING JAYA: Kerjasama antara koperasi tempatan dan negara-negara ASEAN dilihat mampu meningkatkan hasil perolehan sektor koperasi dalam mencapai sasaran Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, jaringan kerjasama serantau itu diperlukan bagi meningkatkan hasil perolehan serta menembusi pasaran antarabangsa.
Katanya, antara inisiatif termasuk penyertaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta koperasi dalam ekspo perdagangan peringkat antarabangsa.
“Itu sebab saya mengatakan jaringan kerjasama koperasi dengan koperasi itu perlu diperluaskan supaya turnover koperasi itu tidak hanya dihasilkan dalam negara kita.
“Ia juga boleh diperluaskan di luar negara dan saya ingin melihat keupayaan koperasi ini sama seperti keupayaan perusahaan-perusahaan syarikat besar negara yang menembusi pasaran antarabangsa untuk pasaran produk dan perkhidmatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Dialog Koperasi ASEAN 2025 (ACD2025), di sini hari ini.
Setakat Disember tahun lalu, sektor koperasi Malaysia mencecah perolehan tahunan sebanyak RM68.2 bilion selain saham dan langganan sektor koperasi yang mencecah RM18.3 bilion dengan aset bernilai RM173.3 bilion.
Perkembangan sektor koperasi bukan sahaja menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), malah memainkan peranan penting dalam pemerkasaan ekonomi termasuk peluang pekerjaan dan menggalakkan keusahawanan di negara-negara anggota.
Terdahulu, mengulas pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Timor Leste, Arsenio Pereira da Silva, Ewon berkata, negara itu berharap agar kerjasama terkait dengan pembangunan kapasiti koperasi di antara kedua-dua negara dapat dibangunkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU).
“Sebentar tadi saya juga telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat saya di Timor Leste yang berhasrat supaya kerjasama dapat dibangunkan dalam bentuk MoU.
“Jadi inilah yang kita hasratkan melalui dialog seperti ini supaya kerjasama bukan hanya dapat diperkasakan di kalangan ketua-ketua negara tetapi juga di antara koperasi dengan koperasi dan juga ‘business to business’,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, antara resolusi yang diharapkan adalah pengiktirafan terhadap pertubuhan itu sebagai platform rasmi bagi gerakan koperasi serantau.
“Kita hendak supaya ACO ini diiktiraf sebagai platform rasmi untuk gerakan koperasi.
“Kedua, pengiktirafan dengan mengangkat koperasi sebagai sektor ketiga pembangunan ekonomi ASEAN. Itu yang penting,” katanya. – UTUSAN