Kereta jatuh tali air, peniaga merangkak selamatkan diri - Utusan Malaysia

Kereta jatuh tali air, peniaga merangkak selamatkan diri

KEADAAN kereta mangsa yang terbabas sebelum terbalik di dalam kawasan tali air kering di Kampung Derdap dekat Limbat, Kota Bharu, Kelantan. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang peniaga donat terpaksa merangkak 2.5 meter selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di dalam kawasan tali air kering di Kampung Derdap, dekat Limbat, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, wanita yang berusia 74 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Faizul Mohd. Fauzi berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika warga emas terbabit memandu kereta jenis Proton Wira sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menjual donat di lampu isyarat dekat Pasir Tumboh, di sini.

“Semasa anggota bomba tiba di lokasi kejadian, wanita itu sedang merangkak naik ke tebing tali air apabila kereta dipandunya terbalik.

“Anggota bomba membantu mangsa sebaik sahaja dia naik ke tebing. Mangsa dipercayai gagal mengawal keretanya ketika membelok ke arah rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Faizul berkata, orang awam yang melihat kejadian itu turut memberi bantuan termasuk membantu menarik keretanya naik ke tebing.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, mangsa memandu kereta sejauh satu kilometer setiap hari untuk menjual donat di kawasan lampu isyarat di Pasir Tumboh. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN