KLANG: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap nelayan yang menyeleweng diesel subsidi kerana tindakan itu hanya merugikan negara.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sehubungan itu golongan nelayan di seluruh negara perlu sentiasa berintegriti terutama dalam mengelak berlakunya isu ketirisan diesel subsidi.
Katanya, golongan nelayan perlu menunjukkan kepada kerajaan bahawa mereka boleh menguruskan pemberian subsidi itu dengan sebaiknya.
“Apabila berlaku ketirisan dan ada tangkapan ia menjadi asbab kerajaan bertindak. LKIM juga sentiasa memantau dan meletakkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mengelak ketirisan subsidi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Negeri Selangor (Penegor) Kali Ke 40/2025 di sini, semalam.
Kata Muhammad Faiz, LKIM sentiasa komited memastikan kes ketirisan itu berada di tahap sifar.
Sementara itu beliau berkata, perlunya satu strategi bersasar diwujudkan bagi membolehkan golongan nelayan dan keluarga mereka meningkatkan status ekonomi.
“Kita ada prasarana dan kemudahan sedia ada, peruntukan dan juga modal yang disediakan Agrobank dan sebagainya tetapi kalau anak nelayan tidak mengambil peluang menceburi bidang akuakultur, maka pada masa depan nanti yang akan menguasai industri perikanan adalah orang luar,” katanya. – UTUSAN