Kerajaan teliti cadangan naikkan had umur persaraan

Kerajaan teliti cadangan naikkan had umur persaraan kepada 65 tahun – PM

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti dan mengkaji implikasi cadangan menaikkan had umur persaraan penjawat awam daripada 60 kepada 65 tahun, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, cadangan itu melibatkan banyak implikasi termasuk dari segi kewangan, penduduk (demografi) dan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.

Justeru katanya, cadangan itu akan dibincangkan di pelbagai peringkat secara menyeluruh sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Cadangan untuk menaikkan had umur persaraan itu wajar diberi perhatian dan dipertimbangkan secara menyeluruh. Agensi-agensi berkaitan perlu meneliti aspek peluang pekerjaan, kos dan perkara-perkara lain yang berkaitan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Hadiah Bahasa Public Bank – Dewan Bahasa dan Pustaka 2025 di Hilton, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said secara peribadi mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan had umur persaraan penjawat awam dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun.

Mengulas usaha memperkasa Bahasa Kebangsaan, Anwar berkata, kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur berdasarkan keupayaan ekonomi dan teknologi semata-mata sebaliknya perlu seiring dengan pengukuhan identiti budaya dan jati diri rakyat melalui bahasa.

Beliau berkata, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak boleh dipinggirkan dalam arus pembangunan malah perlu dimartabatkan agar menjadi tunjang kepada kemajuan negara yang bersifat menyeluruh.

“Kita tidak mahu semangat memperkasa bahasa ini hanya tinggal sebagai slogan kosong. Ia mesti diterjemahkan melalui dasar, sistem pendidikan, sokongan institusi kewangan serta penglibatan sektor swasta.

“Saya tekankan dalam kita mengejar pembangunan teknologi, digital dan kemajuan ekonomi, jangan sesekali kita lupakan akar budaya, nilai dan maruah bangsa yang terserlah melalui bahasa kita,” katanya.

Menurut Anwar, sejarah membuktikan bahawa negara-negara maju seperti Jepun, Korea dan China berjaya mengekalkan kekuatan mereka kerana tidak mengetepikan bahasa ibunda masing-masing dalam pendidikan dan kehidupan seharian.

Katanya, Malaysia perlu mencontohi pendekatan itu dengan memastikan penguasaan bahasa Melayu terus diberi penekanan selain menguasai bahasa-bahasa lain serta kemahiran digital dan kejuruteraan.

“Kalau mahu jadi negara hebat bukan sahaja ekonominya harus kukuh, banknya kuat tetapi bahasanya juga mesti hebat. Bahasa dan budaya itu mencerminkan nilai serta darjat sesebuah bangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN