KULAI: Kerajaan Persekutuan diminta untuk mempercepatkan pembinaan loji memproses sisa pepejal kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) di Tapak Pelupusan Sanitari (TPS) Bukit Payong di Batu Pahat, yang pertama di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, ini susulan projek tersebut mengalami kelewatan dua tahun untuk disiapkan dan dijangka akan beroperasi pada hujung tahun ini.
Katanya, dengan adanya TPS Bukit Payong itu ia dapat menyelesaikan isu pencemaran bau yang dihadapi penduduk berdekatan dengan TPS Batu Empat di Kota Tinggi.
Tambahnya, TPS juga dapat membantu mengurangkan kapasiti sampah di tapak pelupusan sampah berkenaan.
“Saya simpati dengan apa yang berlaku (pencemaran bau), Kerajaan Persekutuan perlu percepat WTE di Bukit Payong supaya sebahagian sampah (TPS Batu Empat) dapat dihantar ke sana.
“Selepas itu, TPS Batu Empat juga perlu dikhaskan untuk kawasan Kota Tinggi sahaja bagi mengurangkan kuantiti sampah di sana,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival TVET dan Kerjaya Kulai di Bandar Putra Kulai, di sini hari ini.
Selasa lalu, seramai lebih 50 penduduk Kampung Desa Makmur, Kota Tinggi mengadakan himpunan aman bagi menggesa agar TPS Batu Empat ditutup.
Tapak pelupusan sampah berkeluasan kira-kira 4.2 hektar yang terletak 300 meter dari kampung itu didakwa menyebabkan pencemaran bau serta menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk akibat kehadiran lalat.
Pencemaran itu juga didakwa menjejaskan lebih 10 kampung sekitar membabitkan kira-kira 5,000 penduduk keseluruhan. – UTUSAN