PETALING JAYA: Kerajaan negeri Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kesemua sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pagi tadi.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tragedi berkenaan bukan sahaja kehilangan buat keluarga malah juga buat seluruh pasukan keselamatan dan rakyat Malaysia
“Dengan hati yang amat pilu menerima berita kemalangan pagi ini yang meragut nyawa anggota FRU kita di Teluk Intan.
“Kehilangan ini amat besar, bukan sahaja buat keluarga mangsa, tetapi juga buat seluruh pasukan keselamatan dan rakyat Malaysia yang amat terkesan dengan tragedi ini.
“Mereka pergi dalam seragam untuk melunaskan tugas dan amanah. Betapa besar pengorbanan yang mereka pikul, begitulah jua berat kehilangan yang kini ditanggung terutamanya ahli keluarga.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri Perak merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh keluarga wira-wira yang terkorban,” katanya di Facebook, hari ini.
Saarani ketika ini berada di Perancis bagi meneruskan misi pelaburan Perak dengan mengadakan pertemuan bersama syarikat terkemuka Solvay di kota La Rochelle.
Solvay merupakan syarikat terkemuka dari Perancis yang memiliki kemudahan canggih untuk pengasingan ke semua elemen mineral nadir bumi (REE). – UTUSAN