Kerajaan mahu tambah lepasan tahfiz dalam bidang aeroangkasa

Kerajaan mahu tambah lepasan tahfiz dalam bidang aeroangkasa

AHMAD Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kerajaan meningkatkan usaha untuk membantu lebih ramai lepasan tahfiz menyambung pengajian dalam bidang aeroangkasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Universiti Kuala Lumpur Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UNIKL MIAT) kini mempunyai 1,962 pelajar.

Kata beliau, 129 pelajar daripada keseluruhan jumlah pelajar dalam bidang aeroangkasa itu adalah lepasan daripada Maahad Tahfiz Ulul Albab.

“Saya bersyukur kerana pelajar-pelajar daripada tahfiz ini diterima dengan baik, bukan sahaja oleh UNIKL MIAT tetapi juga pemain-pemain industri.

“Ini kerana mereka (pelajar lepasan tahfiz) dapat menangkap silibus yang diperkenalkan kepada mereka dan dari segi praktikal, mereka cepat untuk menyesuaikan diri. Insya-Alllah kita akan ramaikan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyaksikan sesi pertukaran memorandum perjanjian (MoU) dengan pemain-pemain industri bersempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang antara lain membabitkan Aerostar Technologies (M) Sdn. Bhd., Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd., Global Turbine Asia Sdn. Bhd., Malaysia Airports Holding Berhad dan Pen Aviation Sdn. Bhd.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Maktab Sains Rendah Mara akan dijadikan sebagai sekolah pengalir untuk pelajar memasuki UNIKL khususnya dalam bidang aeroangkasa.

Ujarnya ada 57 MRSM dan kesemuanya sudah di Ulul Albab dan 70 peratus daripada pelajar itu mengambil silibus Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM)

“Negara memerlukan 60,000 jurutera sekarang, tetapi kita hanya boleh keluarkan kira-kira 6,000 sahaja setahun, jadi kita mesti percepatkan ekosistem baharu untuk mengejar matlamat itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN