KUALA LUMPUR: Barisan menteri dan timbalan menteri baharu yang dilantik susulan rombakan Kabinet Kerajaan Madani berdepan cabaran besar dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata, beliau berharap dapat bekerjasama dengan semua kementerian, khususnya dalam menjayakan agenda Kerajaan Madani.
“Sudah tentu banyak tanggungjawab yang perlu digalas. Ini juga merupakan cabaran besar memandangkan barisan Kabinet baharu ini akan berdepan PRU16.
“Harapan rakyat sangat tinggi dan cabaran itu pasti besar, justeru kami akan berusaha melakukan yang terbaik,” katanya kepada media di pekarangan Pintu 2, Istana Negara, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia yang berlangsung di Singgahsana Kecil pada pukul 10 pagi tadi.
Seramai tujuh menteri, termasuk dua yang baharu dilantik, serta lapan timbalan menteri baharu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, sebagai anggota Kabinet yang baharu dilantik, beliau akan memastikan prinsip integriti dijunjung tinggi serta bekerja keras demi kepentingan rakyat.
“Yang di-Pertuan Agong bertitah agar semua anggota Kabinet yang dilantik hari ini menjunjung integriti dan bekerja untuk rakyat.
“Justeru, kita perlu bekerja keras untuk membawa masuk pelaburan, di samping mempromosikan perdagangan serta memastikan kemudahan menjalankan perniagaan.
“Sebagai timbalan menteri, saya akan melaksanakan amanah ini dengan sebaiknya dan amat bersyukur atas pelantikan ini,” katanya. – UTUSAN











