SETIU: Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang hilang dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Lata Payung, di sini ditemukan lemas, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd. Sarizan Mohammad Sapawi berkata, mayat Abed Mifzal Azman, 22, ditemukan kira-kira 9.30 malam pada jarak satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
” Mangsa ditemukan tersangkut di celah batu oleh penduduk kampung dan operasi membawa keluar mangsa mengambil masa kira-kira 15 minit. Pasukan bomba membawa naik mangsa menggunakan pengusung khas dari tebing setinggi kira-kira 2.5 meter dari lokasi mangsa ditemukan,” katanya ketika ditemui di Lata Payung di sini.
Sementara itu, rakan mangsa, Muhammad Zikry Mohd Zulhairi,22, berkata Abed Mifzal sempat berpaut pada tangan salah pengunjung sebelum dihanyutkan arus deras.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, Abed Mifzal dikatakan duduk di atas batu di tepi tebing sungai melihat empat rakannya mandi.
“Kami datang seramai tujuh orang untuk berkelah di sini (Lata Payung). Ketika sedang mandi ada pengunjung menjerit meminta mereka yang berada di dalam air supaya naik ke darat. Ketika naik ke tebing kami tengok Abed Mifzal masih di atas batu yang mana ketika itu dia kelihatan panik dan tidak tahu mahu berubat apa-apa sehingga dibantu oleh seorang pengunjung,” katanya.
Katanya, bagaimanapun usaha tersebut gagal apabila Abed Mifzal terlepas pegangan tangan dan dihanyutkan arus.
Menurutnya ketika dalam perjalanan ke lokasi perkelahan, Abed Mifzal daripada awal telah memberitahu bahawa dirinya tidak mahu mandi dan hanya mahu datang melihat sambil menjamu selera. – UTUSAN