Kemenangan untuk hak kebebasan bersuara - Nalina Nair

Kemenangan untuk hak kebebasan bersuara – Nalina Nair

NALINA NAIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Wanita DAP Selangor, Nalina Nair Rama Krishnan hari ini kekal dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan berkelakuan tidak senonoh dengan membuat bising di sebuah balai polis, empat tahun lalu.

Ini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad selaku perayu menarik balik rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret bertarikh Ogos 2023.

“Pendakwaan menarik balik rayuan,” katanya pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Peguam bela, Farida Mohamad yang mewakili Nalina Nair selaku responden memaklumkan pihaknya tiada bantahan berhubung penarikan rayuan pendakwaan itu.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Muhammad Jamil kemudian membatalkan rayuan pendakwaan itu.

Sementara itu, Nalina Nair yang ditemui selepas prosiding menganggap bahawa keputusan itu satu kemenangan yang besar terhadap kebebasan bersuara di Malaysia.

“Keputusan ini mengesahkan pendirian kami bahawa penahanan terdahulu adalah tidak adil. Kemenangan ini bukan sahaja kepada kami tetapi kepada rakyat Malaysia yang percaya kepada hak kebebasan bersuara dan perhimpunan secara aman,” katanya.

Pada Ogos 2023, Majistret Nadia Othman melepaskan dan membebaskan Nalina Nair terhadap pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Nalina Nair didakwa melakukan perbuatan itu di lobi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pukul 9 malam pada 19 Ogos 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan bermula 5 Disember 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN