Kemalangan 14 kenderaan punca kesesakan sehingga 7 kilometer

Kemalangan 14 kenderaan punca kesesakan sehingga 7 kilometer

ANGGOTA bomba memeriksa sebahagian daripada kenderaan yang rosak dalam kemalangan membabitkan 12 buah kereta serta dua buah motosikal di Lebuhraya Butterworth - Kulim (BKE) berhampiran Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Dua penunggang motosikal cedera selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam satu kemalangan membabitkan 12 buah kereta di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan terbabit pada pukul 7.14 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti dengan dibantu oleh BBP Kulim ke lokasi kejadian.

“Kemalangan ini membabitkan 12 buah kereta dan dua buah motosikal namun tidak melibatkan sebarang insiden mangsa tersepit kecuali dua penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan.

“Kedua-dua mangsa lelaki tempatan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS BBP Kulim sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, satu kemalangan melibatkan 12 buah kereta dan dua motosikal dilaporkan berlaku di lebuh raya tersebut iaitu di Kilometer 10.2 arah Barat dari Lunas ke Kubang Semang sehingga mengakibatkan aliran trafik sesak sehingga tujuh kilometer (km).

Rakaman video mengenai kemalangan itu kemudian tular di media-media dengan memaparkan beberapa kenderaan yang rosak teruk termasuk Perodua Kancil dan Myvi serta kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah iaitu Toyota Alphard. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN