Kelewatan blok kanak-kanak Hospital Melaka kerana proses teknikal

Kelewatan blok kanak-kanak Hospital Melaka kerana proses teknikal

NGWE Hee Sem menunjukkan senarai prosedur yang perlu dilaksanakan sebelum projek pembinaan blok wanita dan kanak-kanak Hospital Melaka ketika ditemui di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kelewatan pembinaan blok wanita dan kanak-kanak Hospital Melaka berpunca daripada proses teknikal dan pentadbiran serta melibatkan pelbagai agensi kerajaan, bukannya disebabkan kegagalan pelaksanaan oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, projek itu melibatkan kos yang tinggi dan perlu mematuhi lebih 50 prosedur sebelum pembinaan fizikal dapat dimulakan.

“Antara faktor menyumbang kepada kelewatan termasuk keperluan perobohan bangunan sedia ada, isu pelebaran jalan, pengambilan tanah serta kelulusan teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Kesihatan (KKM) dan beberapa agensi berkaitan.

“Ini bukan projek kecil, nilainya RM723 juta, semua proses mesti melalui kelulusan peringkat Persekutuan, setiap peringkat ambil masa daripada penyediaan penyataan keperluan (need statement), pelantikan jawatankuasa, sehingga ke proses tender dua fasa,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Beliau menjawab dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub yang menyelar kelewatan pelaksanaan projek berkenaan.

Tambah Hee Sem, projek itu diluluskan dalam Rancangan Boleh Pinda (Rolling Plan) Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 dan diumumkan dalam Bajet 2023 dengan kos asal RM696 juta sebelum dinaikkan kepada RM723 juta selepas permohonan Notis Perubahan (NoC) diluluskan oleh Kementerian Ekonomi pada 9 Mei lalu.

“Setakat ini, Cawangan Kerja Kesihatan Ibu Pejabat JKR sedang memuktamadkan need statement menerusi bengkel yang dijadual berlangsung pada hari ini, sebelum proses tender pra kelayakan dimulakan.

“Projek dijangka bermula 2026 dan siap sepenuhnya pada 2031, kerana kita tidak mahu tergesa-gesa hingga langgar prosedur, fokus kita adalah kelulusan yang telus dan pelaksanaan berkualiti,” katanya.

Skop projek itu termasuk pembinaan blok baharu dengan kapasiti 476 katil, enam dewan bedah, tempat letak kereta bertingkat (1,100 petak), pembelian peralatan perubatan serta perobohan institut latihan kejururawatan sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN