IPOH: Kelab motosikal berkuasa tinggi, Adventure Touring Motorsports (Sukan Permotoran Pelancongan Pengembaraan) – ATMS dan lima kelab lagi menyumbang RM27,000 kepada waris sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas jalan raya di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Menurut Presiden ATMS, Muhammad Arashid Ramli, sumbangan itu tanda solidariti selain mengenang pengorbanan dan jasa sembilan wira negara yang terkorban dalam tragedi tersebut.
“Sumbangan hasil kutipan selama dua minggu daripada ahli dan lima kelab motosikal lain khususnya di Perak.
“Kutipan ini dibahagikan kepada setiap waris sembilan anggota FRU tersebut (RM3,000 bagi setiap keluarga),” katanya kepada pemberita di FRU Unit 5 Sungai Senam di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan cek kepada Pemangku Pegawai Pemerintah FRU Unit 5 Sungai Senam, Deputi Superintendan Mohd. Amin Mat Yassin pada majlis ringkas yang turut dihadiri kira-kira 200 penunggang motosikal berkuasa tinggi.
Turut hadir, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, Rohana Mohamad Ali @ Salleh.
Muhammad Arashid berkata, ATMS sentiasa aktif membantu mangsa bencana atau musibah di seluruh negara termasuk Indonesia dan Thailand.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi 13 Mei lalu, kenderaan membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.
Kemalangan itu mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.
Nahas berlaku ketika trak dinaiki semua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. – UTUSAN