Kejayaan Malaysia anjur Sidang Kemuncak ASEAN komitmen luar biasa jentera kerajaan - PM

Kejayaan Malaysia anjur Sidang Kemuncak ASEAN komitmen luar biasa jentera kerajaan – PM

ANWAR Ibrahim ketika Majlis Perhimpunan Bulanan PM bersama Warga Kerja JPM di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kecekapan, dedikasi dan semangat berpasukan semua pihak menjadi kunci kejayaan Malaysia selaku tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berakhir Isnin lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelancaran keseluruhan penganjuran sidang berprofil tinggi itu adalah hasil komitmen luar biasa seluruh jentera kerajaan serta sokongan rakyat yang memahami peranan dan tanggungjawab negara di pentas antarabangsa.

“Saya lihat di semua peringkat, anak-anak kita, penjawat awam, semuanya hebat. Dari lapangan terbang, perbarisan, polis, imigresen, Malaysia Airports, pengurusan hotel, Kementerian Luar Negeri yang menyelaras, hinggalah ke Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan protokol.

“Saya pun pening dengan protokol, tapi saya hormat dan ikut apa yang diarahkan oleh pegawai, sebab kita sebuah negara yang ada peraturan dan bekerja secara berpasukan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung selama dua hari dan menyaksikan beberapa siri pertemuan berprofil tinggi yang memfokus kepada pengukuhan kerjasama serantau dan perkongsian strategik.

Antara acara utama ialah Sidang Kemuncak ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2, Sidang Kemuncak ASEAN–China serta Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT) ke-16.

Mengulas lanjut, Anwar turut menekankan pentingnya kerjasama dalam kalangan pemimpin ASEAN bagi membuat keputusan kolektif tanpa menjejaskan kepentingan negara masing-masing.

“Kita nak buat keputusan bersama termasuk berkenaan tarif era Presiden Trump. Setiap negara ada strategi masing-masing untuk hubungan dua hala, tetapi dalam masa sama, kita juga perlu pertahankan kepentingan lebih 650 juta penduduk ASEAN.

“Jangan ada satu keputusan yang dibuat oleh Malaysia merugikan negara lain atau keputusan oleh Vietnam merugikan negara jiran. Kita bergerak sebagai satu pasukan,” ujarnya.

Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025 dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, buat kali kelima selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015. — UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN