PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak wajar dipersalahkan berhubung kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh kerana insiden itu berlaku di luar bidang kuasa agensi tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ini susulan terdapat beberapa pihak yang mendakwa agensi itu tidak memberikan perlindungan mencukupi kepada Pamela sebelum kehilangannya pada 9 April lalu.
Katanya, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Orang ramai tidak boleh menyalahkan SPRM kerana kejadian berlaku di jalan awam dan bukan dalam kawasan SPRM, ia di luar kawalan kami.
“Malah, tiada sebarang petanda awal yang menunjukkan wujud ancaman terhadap keselamatan beliau sebelum kejadian.
“Sepanjang beberapa kali kehadiran beliau ke Ibu Pejabat SPRM sebelum ini bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram, tiada sebarang insiden mencurigakan berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Azam, SPRM akan terus memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan berhubung kehilangan mangsa.
“Malah, pegawai penyiasat kami yang mengambil keterangan beliau juga telah memberi kenyataan kepada polis,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Pamela, Azam enggan mengulas.
Beliau menegaskan, siasatan akan dikendalikan sepenuhnya oleh SPRM tanpa melibatkan agensi lain pada masa ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan, siasatan polis setakat ini menjurus kepada kemungkinan suami mangsa serta beberapa individu lain sebagai suspek. – UTUSAN