Kehilangan Pamela Ling: Ada cubaan halang proses siasatan

Kehilangan Pamela Ling: Ada cubaan halang proses siasatan

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Insiden kehilangan saksi penting Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datin Seri Pamela Ling menunjukkan terdapat kemungkinan wujud cubaan untuk menghalang proses siasatan selain membuka ruang unsur rasuah, ugutan dan jenayah terancang.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kejadian itu tidak boleh dianggap remeh selain bakal menimbulkan isu kepercayaan kepada kecekapan sistem undang-undang.

“Ketelusan dan tindakan segera amat diperlukan. Justeru, MCW menggesa wakil polis dan SPRM tampil bersama dalam sidang media khas bagi menjelaskan status siasatan dan langkah perlindungan saksi.

“Selain itu, Sistem Perlindungan Saksi perlu ditambah baik. Undang-undang sedia ada seperti Akta Perlindungan Saksi 2009 mesti diperkukuh dengan pelaksanaan yang lebih ketat, termasuk pengawasan digital, pengiring rasmi, dan kerahsiaan lokasi untuk saksi penting kes rasuah berprofil tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM sekitar jam 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang.

SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan, Pamela dipanggil hadir ke ibu pejabatnya pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti dijadualkan.

Dalam pada itu, MCW menggesa penubuhan Unit Saksi Berisiko Tinggi (USB) di bawah kerjasama SPRM, polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menjamin keselamatan saksi dari awal hingga akhir proses pendakwaan.

“Sekiranya terbukti terdapat penglibatan dalaman dari mana-mana agensi penguatkuasa dalam insiden ini, tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi.

“Integriti institusi negara tidak boleh digadaikan demi melindungi mana-mana pihak yang berkepentingan.

“MCW berdiri teguh bersama keluarga Datin Seri Pamela Ling dan masyarakat Malaysia dalam menuntut keadilan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN