TELUK INTAN: Kegagalan fungsi stereng sebuah lori pasir dipercayai menjadi punca kenderaan berat itu merempuh kenderaan membawa 18 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 8.15 pagi itu, sembilan anggota FRU dilaporkan maut akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan membawa anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitrapournami di daerah Hilir Perak.
Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, kenderaan pasukan telah dirempuh sebuah lori muatan pasir yang mengalami kegagalan fungsi stereng.
“Pemeriksaan mendapati sembilan anggota termasuk pemandu lori FRU meninggal dunia di tempat kejadian.
“Lima anggota cedera parah manakala empat yang lain cedera ringan. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN