WASHINGTON: Persetujuan yang dicapai oleh Amerika Syarikat (AS) dan China untuk mengurangkan secara drastik tarif balas masing-masing selama 90 hari memberi kelegaan besar kepada ekonomi dunia, namun pakar masih gusar tentang masa depan pasaran global selepas tempoh tersebut berakhir.
Ketua Ekonomi Asia firma Capital Economics, Mark Williams berkata, tidak ada jaminan tempoh ‘gencatan tarif’ itu akan memberi laluan kepada usaha perjanjian berkekalan melihatkan pendirian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang kerap berubah.
Jelasnya, ketidaktentuan masih berterusan kerana kesan negatif daripada perang perdagangan yang dicetuskan Trump sejak Februari lalu sudah pun dirasai pasaran dunia.
Perjanjian yang dicapai selepas rundingan di Switzerland kelmarin menyaksikan pentadbiran Trump bersetuju untuk mengurangkan tarif ke atas barangan import dari China daripada 145 peratus kepada 30 peratus.
Sebagai balasan, kerajaan China juga mengurangkan cukai import terhadap barangan AS daripada 125 peratus kepada 10 peratus, sementara kedua-dua pihak meneruskan rundingan selanjutnya.
Trump mengisytiharkan pengurangan ketegangan ini sebagai satu kemenangan dan berkata beliau akan berbincang dengan Presiden China, Xi Jinping, bagi memastikan hubungan ekonomi antara dua kuasa besar dunia ini terus terpelihara.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent turut menyifatkan perbincangannya dengan Naib Perdana Menteri China, He Lifeng dan wakil perdagangan antarabangsa, Li Chenggang, sebagai produktif dan kukuh.
Bercakap kepada CNBC pada hari Isnin, Bessent berkata, beliau menjangkakan wakil dari AS dan China akan bertemu sekali lagi dalam beberapa minggu akan datang untuk merangka perjanjian yang lebih menyeluruh.
Namun pakar menyifatkan, kadar tarif tersebut masih lebih tinggi berbanding ketika Trump mula mengambil alih Rumah Putih.
Keadaan yang tidak menentu ini menyebabkan masih ramai ketua syarikat, pelabur dan pengguna berasa bimbang dan enggan mengambil risiko.
Ahli Ekonomi Universiti Michigan, Justin Wolfers turut sependapat dengan William, menekankan masih tiada jaminan kukuh mengenai masa depan dasar perdagangan AS walaupun wujud perjanjian rundingan 90 hari berkaitan tarif.
Menurut Wolfers, sebahagian pihak mungkin melihat rundingan sementara ini sebagai perkembangan positif kerana ia mengurangkan kadar tarif daripada tahap yang terlalu tinggi dan tidak masuk akal kepada angka yang lebih terkawal.
Namun, beliau turut memberi amaran tentang beberapa tindakan kontroversi Trump sepanjang empat bulan kebelakangan ini termasuk cadangan mengenakan cukai import 100 peratus terhadap filem luar negara, serta ancaman untuk menggabungkan Kanada dan Greenland ke dalam wilayah AS.
“Tindakan seperti ini menunjukkan sikap yang tidak mengambil berat terhadap kesan kewangan akibat dasar-dasar tersebut.
“Kalau kita lihat kembali apa yang berlaku dalam 120 hari terakhir, walaupun ada sedikit rasa optimis sekarang, adalah tidak masuk akal untuk benar-benar berasa yakin terhadap apa-apa yang diumumkan Trump,” katanya.
Kesan bullwhip
Lonjakan penghantaran selepas pengumuman penggantungan tarif Trump turut dikhuatiri memberi kesan negatif kepada pasaran dunia.
Sebelum ini, tarif 145 peratus yang dicadangkan oleh Trump menyebabkan jumlah kapal meninggalkan pelabuhan China menuju ke AS merudum.
Namun kadar tarif lebih rendah yang diumumkan China dan AS boleh mencetuskan gelombang besar penghantaran kontena merentas lautan ke AS.
Sebelum ini, risiko pengurangan penghantaran dari China menimbulkan kebimbangan akan berlakunya kekurangan barangan di rak-rak kedai di AS, keadaan yang pernah berlaku semasa pandemik Covid-19 hingga harga melambung tinggi dan mencetus kemarahan.
Namun, dengan kadar tarif yang lebih rendah, barangan yang sebelum ini tersimpan di gudang dan kilang di Asia kini boleh dihantar segera ke atas kapal kargo, mendorong kenaikan mendadak kos penghantaran serta kesesakan di pelabuhan.
Menurut Naib Presiden Pertumbuhan Syarikat Logistik Zencargo, Michael Starr, kesan bullwhip akan berlaku apabila kekurangan bekalan secara tiba-tiba berubah menjadi lambakan apabila syarikat-syarikat bergegas untuk menghantar barangan sebelum tarif tinggi kembali dikuatkuasakan.
“Mereka kini boleh mula membuat penghantaran bagi musim cuti hujung tahun. Dalam masa 90 hari ini, syarikat akan cuba menghantar seberapa banyak pesanan yang boleh. Tetapi kapal tidak boleh kembali beroperasi sepantas permintaan mendadak barang untuk dihantar,” katanya.
Ekonomi AS tetap terjejas
Ekonomi AS dijangka tetap terkesan walaupun pasaran pekerjaan masih kukuh setakat ini.
Antara cabaran utama bagi Trump ialah banyak syarikat sudah mula merancang berdasarkan pengumuman tarif setinggi 145 peratus terhadap barangan import, terutamanya dari China.
Namun ketiadaan dasar tetap menyebabkan ramai masih menunggu dan tidak yakin untuk membuat perubahan besar.
Felo Kanan Washington Center for Equitable Growth, Kevin Rinz berkata, pasaran kerja yang kukuh mungkin mampu menahan kesan tarif untuk sementara waktu sama seperti ia bertahan daripada kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan semasa pentadbiran bekas Presiden Joe Biden.
Namun, katanya, tarif 30 peratus tetap mencetus beban tambahan kepada syarikat dan pengguna serta menyebabkan banyak syarikat mengurangkan pengambilan pekerja serta menangguhkan rancangan pengembangan operasi.










