LANGKAWI: Pesawat pengangkut sederhana pelbagai misi, KC-390 Millennium buatan Brazil yang pertama kali dipamerkan di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) berjaya mencuri tumpuan pengunjung.
Pesawat dilengkapi pelbagai fungsi canggih itu juga berupaya menjadi pesaing terdekat kepada pesawat pengangkut C-130 Hercules buatan Amerika Syarikat (AS).
Naib Presiden Jualan dan Pembangunan Perniagaan bagi Asia Pasifik dan Timur Tengah Embraer Defence and Security, Caetano Neto berkata, KC-390 Millennium merupakan pesawat pelbagai misi generasi baharu yang direka dan dibina untuk memenuhi permintaan persekitaran operasi abad ke-21.
Katanya, ia pesawat paling canggih dalam kelasnya kerana mampu terbang lebih cepat dan jauh serta membawa kargo lebih berat berbanding pesawat kargo tentera bersaiz sederhana yang lain.
Ujarnya, pesawat itu menggunakan enjin jenis V2500 yang dibangunkan oleh Enjin Aero Antarabangsa (IAE).
“Ya, ia boleh menjadi pesaing kepada C-130 Hercules, KC-390 Millennium telah direka bentuk sebagai pesawat pengangkut taktikal angkatan sederhana yang mampu membawa muatan seberat 26 tan dan dilengkapi dengan dua enjin.
“Jadi, pelanggan yang kini mengendalikan pesawat C-130 Hercules mungkin berminat untuk mempertimbangkan KC-390 Millennium sebagai pengganti kerana ia menawarkan banyak kelebihan. Malah, kos operasi dan kos kitaran hayatnya juga rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Caetano, KC-390 Millennium sesuai digunakan di Malaysia untuk pelbagai tujuan ketenteraan
“Ia adalah sebuah pesawat yang dilengkapi dengan keupayaan pelbagai misi, oleh itu boleh digunakan dalam pelbagai senario yang berbeza.
“Sebagai contoh, pengangkutan kargo, pengangkutan tentera, penerjunan kargo dari udara, penerjunan tentera payung terjun serta menjalankan aktiviti mencari dan menyelamat (SAR).
“Selain itu, ia mampu digunakan dalam misi bantuan dan menyelamat penduduk. Jadi, saya fikir semua keupayaan ini adalah relevan untuk Malaysia serta banyak negara lain di rantau ini,” jelasnya.
Katanya, setakat ini tiga daripada 10 negara telah menggunakan KC-390 Millennium iaitu Brazil, Portugal dan Hungary.
“Tentera Udara Brazil menggunakan pesawat ini sejak 2019. Mereka sudah menerima sebanyak tujuh unit daripada 19 pesawat yang ditempah,” katanya. – UTUSAN