PETALING JAYA: Kategori barangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditambah kepada 14 jenis yang merangkumi pelbagai barangan makanan asas, kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertambahan kategori barangan yang dibenarkan di bawah SARA itu adalah hasil maklum balas diterima daripada majoriti penerima.
“Kerajaan Madani sentiasa mendengar suara rakyat demi memastikan kelangsungan hidup mereka terus terbela. Perluasan kategori barangan yang dibenarkan di bawah SARA ini adalah hasil maklum balas diterima daripada majoriti penerima.
“Arakian, kerajaan bertindak segera untuk melaksanakannya. Insya-Allah, Kerajaan Madani akan terus menambah baik pelaksanaan program SARA dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bermula 1 Mei, program SARA telah ditambah baik melalui perluasan barangan asas yang dibenarkan iaitu meliputi produk kebersihan rumah seperti sabun atau serbuk pencuci untuk pakaian, pinggan mangkuk dan lantai susulan permintaan meluas para penerima.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penerima SARA ditingkatkan daripada 700,000 kepada 5.4 juta orang mulai April lalu.
“Seramai 72 peratus daripada jumlah 5.4 juta penerima SARA mula berbelanja menggunakan MyKad dalam bulan pertama pengkreditan SARA,” katanya.
Selain itu, bilangan kedai runcit atau pasar raya berdaftar di bawah SARA telah mencecah lebih 3,700 buah di seluruh negara berbanding 700 pada 2024 dengan jumlah itu akan ditambah bagi memastikan terdapat kedai yang berdekatan dengan tempat tinggal setiap penerima.
Dalam pada itu, Anwar berkata, penerima tertinggi membuat pembelian SARA melalui MyKad adalah di Sabah dengan 84 peratus diikuti Perlis (82 peratus), Kedah (80 peratus), Labuan (79 peratus) dan Kelantan (78 peratus) setelah melihat daripada segi prestasi pelaksanaan SARA hingga 29 April tahun ini.
Kadar maksimum SARA yang diterima adalah hingga RM2,100 untuk 2025 berbanding RM1,200 pada 2024.
“Ia meningkat sebanyak 75 peratus daripada yang diterima pada tahun lepas. Pembelian SARA boleh dibuat sepanjang tahun dan baki kadar atau kredit bulanan SARA akan dibawa ke bulan seterusnya sehingga 31 Disember 2025,” katanya.
Orang ramai yang mahu membuat semakan status kelayakan SARA boleh lakukan di Portal Rasmi STR, https://bantuantunal.hasil.gov.mx manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk di https://www.mykasih.com.my. – UTUSAN