BALING: Kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika mandi sungai, Muhammad Aqil Fitri Hishamudin, 12, ditemui lemas di Sungai Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, sebentar tadi.
Jasad mangsa ditemukan terapung sekitar pukul 1.31 petang pada jarak 700 meter dari lokasi dia dan rakannya mandi-manda di sungai itu, petang semalam.
Ibunya, NurAmalina Ibrahim, 37, tidak dapat menahan sebak sebaik anggota bomba dan penyelamat membawa naik mayat anaknya dari sungai itu.
“Meskipun pada awalnya saya reda sekiranya ditemui hanya jasadnya sahaja tetapi sebaik sahaja terlihat tubuh Aqil yang sudah kaku, saya tidak dapat menahan perasaan sedih.
“Bagaimanapun syukur Alhamdulillah Aqil ditemui dalam tempoh 24 jam selepas dia hilang ketika mandi sungai bersama rakan-rakannya,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian hari ini.
Katanya, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur dapat menatap wajah anak bongsu daripada dua beradik itu untuk kali terakhir.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Muhammad Anuar Ibrahim, 32, berkata, Muhammad Aqil dilihat timbul semasa laungan azan Zohor daripada masjid berdekatan.
“Alhamdulillah, tiba-tiba sahaja jasad Aqil timbul setelah azan Zohor berkumandang dan orang kampung yang melihat kejadian itu segera memberitahu anggota bomba yang berada di lokasi,” katanya. – UTUSAN