SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hampir lemas dalam kolam di sebuah inap desa di Sungai Layar Tengah, di sini petang semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika keluarga kanak-kanak terbabit pulang ke inap desa didiami mereka selepas selesai menghadiri majlis kenduri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang memaklumkan sedang merawat mangsa.
“Daripada laporan awal, kejadian disedari ibu mangsa selepas menyedari anak lelakinya itu tiada di dalam rumah semasa mereka sedang berehat di dalam sebuah bilik inap desa itu.
“Wanita itu kemudian terkejut mendapati pintu inap desa berkenaan terbuka dan berlari keluar sebelum menemui anaknya dalam keadaan terapung di permukaan kolam mandi di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mangsa segera dibawa oleh ibu bapanya ke HSAH dan diberikan rawatan di zon merah sebelum dilaporkan stabil tidak lama kemudian.
“Siasatan lanjut akan dilakukan sebaik pihak kita berjaya merakam percakapan ibu bapa mangsa berkaitan kejadian itu dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN