Kampus AT&S Kulim mulakan pengeluaran besar-besaran

Kampus AT&S Kulim mulakan pengeluaran besar-besaran

AT&S memulakan pengeluaran besar-besaran IC substrat di kampus baharu mereka yang terletak di KHTP, Kulim, Kedah- UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Peneraju global pembuatan papan litar bercetak (PCB) dan litar bersepadu (IC) substrat berprestasi tinggi, Austria Technologie & Systemtechnik (AT&S) memulakan pengeluaran secara besar-besaran di kampus baharu yang terletak di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Kampus berteknologi tinggi tersebut yang dibina dalam tempoh hanya dua tahun, merupakan pencapaian penting bukan sahaja buat AT&S tetapi juga kepada landskap teknologi negara.

Naib Presiden Eksekutif Unit Perniagaan Mikroelektronik AT&S, Ingolf Schroeder berkata, kejayaan itu menandakan permulaan era baharu dalam pengeluaran IC berteknologi tinggi yang digunakan syarikat terkemuka seperti AMD.

“Kami percaya ini merupakan satu rekod baharu dunia daripada pembinaan kepada pengeluaran besar-besaran dalam masa tiga tahun sahaja. Ia adalah pencapaian besar buat AT&S dan satu langkah penting untuk Malaysia.

“Tambahan lagi AT&S berada di landasan untuk menjadi salah satu daripada tiga pembekal IC substrat terkemuka di dunia dan Kulim akan menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan kami serta memperkukuh kedudukan Malaysia di Asia Tenggara,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Schroeder, sebanyak RM5 bilion dilabur setakat ini di kampus berkeluasan 255,000 meter persegi itu yang dilengkapi dengan 500 mesin berteknologi tinggi, sementara RM600 juta diperuntukkan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menunjukkan komitmen AT&S terhadap inovasi.

Katanya, AT&S kini dapat memanfaatkan ‘Segitiga Substrat’ baharu yang saling bersepadu rapat merangkumi kilangnya di Chongqing, China; Kulim dan Leoben, Austria.

“Pengetahuan, teknologi dan penyelidikan di ketiga-tiga lokasi ini sentiasa dikongsi dan dipertingkatkan, sekali gus membantu semua kilang mencapai potensi sepenuhnya,” ujarnya.

Tambah beliau, penglibatan AT&S dalam sektor semikonduktor negara akan turut membantu merangsang pertumbuhan ekonomi dan teknologi Malaysia secara mampan.

“AT&S kini menggaji kira-kira 1,500 pekerja di Malaysia dan menjangkakan pertumbuhan berterusan selari dengan permintaan global terhadap CPU, GPU, serta teknologi AI, VR dan AR.

“Kami turut menjalinkan kerjasama erat dengan agensi tempatan seperti Collaborative Research in Engineering and Science and Technology Centre (CREST) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk Strategi Semikonduktor Nasional (NSS),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya