Kerajaan Melaka melebarkan inisiatif Kampung Digital ke sekolah-sekolah untuk memudahkan pemetaan data pelajar serta memacu kecekapan sistem penyampaian pendidikan secara menyeluruh.
Usaha tersebut memastikan sistem pendidikan di negeri ini terus berada pada tahap yang cemerlang menerusi pemerkasaan sistem pentadbiran sekolah yang lebih sistematik, terutamanya di kawasan luar bandar.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Mahfudzah Mohamed Noor berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, Masjid Tanah dipilih menjadi projek rintis pertama sebelum dilaksanakan di semua 318 sekolah rendah dan menengah di negeri ini tidak lama lagi.
Menurutnya, projek berkenaan mampu memantau ketidakhadiran pelajar kerana sakit, pengurusan data pelajar, komunikasi ibu bapa dan mengetahui aktiviti di sekolah.
Katanya, difahamkan setiap pelajar akan mempunyai domain @Melaka.my iaitu e-mel khas yang diberikan kepada mereka bagi memudahkan proses penyaluran maklumat daripada pihak sekolah.
Lebih penting katanya, melalui inisiatif yang diperkenalkan itu juga membolehkan ibu bapa yang berada di luar negara mengakses domain @Melaka.my dan berinteraksi dengan guru serta mengetahui apa yang berlaku di sekolah.
“Melalui sistem alamat yang tersusun dan seragam, guru dapat tahu dengan tepat di mana kedudukan anak-anak murid berada bagi memudahkan pihak sekolah dapat menjejaki jika mereka tidak datang ke sekolah.
“Sebelum ini jika tidak ada alamat yang jelas dan berstruktur terutama di kampung- kampung adalah sukar bagi pihak sekolah menjejaki pelajar yang didapati terlalu lama tidak datang ke sekolah terutama di kawasan luar bandar.
“Saya yakin projek ini mampu memperkemas proses pengesahan identiti dan pendaftaran pelajar, sekali gus memudahkan urusan guru, pelajar, ibu bapa serta pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Pelancaran Sekolah Rintis Inisiatif Kampung Digital di SMK Hang Kasturi yang telah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh baru-baru ini.
Pada 7 April 2023, kerajaan negeri telah bersetuju dengan pelaksanaan Inisiatif Kampung Digital sebagai satu langkah progresif dalam memodenkan komuniti kampung di negeri ini.
Inisiatif tersebut diperkenalkan selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk meningkatkan kemajuan sosial, ekonomi dan teknologi dalam kalangan penduduk kampung di negeri ini.
Kampung Digital itu dilaksanakan bertujuan untuk mengatasi isu ketiadaan alamat rumah yang jelas dan berstruktur dalam kalangan penduduk luar bandar khususnya.
Usaha ini sebenarnya akan membawa manfaat kepada penduduk kampung dalam aspek pengurusan, penghantaran dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan alamat rumah.
Kelebihan inisiatif tersebut juga akan mendapat data perangkaan mengenai jumlah rumah sebenar di negeri ini termasuk juga sempadan kampung yang sebenar manakala di setiap premis di kampung-kampung pula akan diberikan QR-Code iaitu alamat rumah mereka yang hanya perlu diimbas menggunakan telefon pintar untuk ke maklumat rumah di laman Portal Kampung Digital.
Selain itu terdapat juga maklumat seperti nombor kod unik premis, alamat penuh, nama mukim, nombor lot rumah, link lokasi rumah dan alamat lama yang digunakan boleh dicapai melalui QR-Code tersebut.
Setakat ini sebanyak 657 kampung sudah selesai menjalani proses cerapan yang kini dalam peringkat akhir transformasi kampung tradisional kepada Kampung Digital.
Penyelarasan kepada Kampung Digital memerlukan beberapa rangka kerja antaranya penentuan lot tanah untuk dimasukkan ke dalam sistem dan diberikan nombor.
Dalam pada itu, proses mencetak pelekat QR juga kini dalam pelaksanaan sebelum diserah dan ditampal di kediaman masing-masing.
Sehubungan itu inisiatif tersebut akan melihat jumlah kampung dijangka akan berkurang disebabkan ada permintaan dalam kalangan pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk menggabungkan kampung-kampung mereka ini.
Selain itu, terdapat juga cadangan untuk menukar nama kampung dan perkara ini masih dalam perbincangan serta tindakan agensi berkaitan iaitu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) selain Pejabat Daerah dan Tanah.
Pada dasarnya, Inisiatif Kampung Digital dirangka sebagai enjin perubahan utamadalam menyelesaikan masalah akar umbi di kawasan luar bandar, khususnya ketiadaan alamat rumah yang jelas dan berstruktur di kampung-kampung.
Mahfudzah Mohamed berkata, sebelum ini pihak sekolah gagal mengesan pelajar yang tidak datang ke sekolah tanpa sebab apabila usaha menjejaki mereka gagal kerana alamat yang direkodkan hanyalah bernombor lot dan alamat pukal tanpa petunjuk jelas.
Tambahnya, keadaan itu menyebabkan ada pelajar luar bandar yang tercicir untuk mendapat pendidikan yang sempurna.
“Melalui alamat berstruktur melalui digital kita dapat mengenal pasti murid itu berada di lokasi yang tepat, sebagai contoh jika pelajar itu tidak hadir ke sekolah tanpa sebab guru boleh menjejaki rumah pelajar tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, inisiatif dari kerajaan negeri akan dilaksanakan terlebih dahulu di semua sekolah-sekolah di Alor Gajah sebelum disebar luaskan kepada Melaka Tengah dan Jasin.
Ujarnya, usaha ini adalah menyahut dengan Dasar Pendigitilan Negara (DPD) yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2023 bagi memudahkan proses pembelajaran. – UTUSAN