Dari sebuah cawangan kecil yang dibina di atas semangat dan impian, kini Nasken International Sdn Bhd melakar sejarah dengan pembukaan cawangan ke-43 mereka di Presint 15, Putrajaya.
Di tengah-tengah suasana kota yang serba moden, kafe tempatan ini terus mengangkat cita rasa Malaysia dan semangat kekeluargaan ke pentas nasional dan kini, mengorak langkah pula ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia menjelang 2026.
Bagi pengasasnya, Mohd Nazif Ab Aziz, pencapaian ini bukan sekadar soal angka, ia adalah cerita perjuangan, nilai, dan cita-cita yang lebih besar dari sekadar secawan kopi.
“Nama Nasken itu sendiri ada cerita panjang. Ramai tanya, dari mana datangnya nama itu. Sebenarnya, ia gabungan sakinah, yang bermaksud ketenangan dengan gabungan nama saya sendiri, Naz dan negeri asal kami, Kelantan.
“Bagi saya, Nasken bukan hanya nama. Ia adalah perjalanan perjalanan mencari ketenangan melalui perniagaan.
“Kita tak nak buat bisnes semata-mata nak kejar duit. Kita nak bina sesuatu yang ada nilai, ada prinsip, dan boleh bantu orang,”katanya.
Nilai spiritual yang disemat dalam jenama ini jelas terpantul bukan sahaja pada nama dan slogan mereka Bukan Sekadar Kopi tetapi juga pada strategi mereka membina empayar perniagaan.
Bagi Nazif, kejayaan jenama bukanlah sesuatu yang datang dalam sekelip mata malah, banyak cabaran, kegagalan dan kebimbangan yang telah dilalui di belakang tabir.
Nazif turut mendedahkan bahawa Nasken kini sedang dalam proses awal menuju penyenaraian awam (IPO) yang dirancang untuk direalisasikan menjelang penghujung tahun 2026.
“Kami dah mula proses dokumen-dokumen sedang disusun, peguam dan penasihat korporat sedang dilatih.
“Kita nak pastikan bila kita ke IPO, kita benar-benar bersedia. Kita tak nak kejar laju sangat, tapi kita juga tak nak lambat sampai,” katanya.
Baginya, IPO bukan semata-mata untuk mendapatkan dana tetapi untuk membangunkan keselamatan dan kestabilan jangka panjang bagi jenama dan staf mereka, serta memperluas lagi impak sosial dan ekonomi yang boleh dicapai.
“Bila kami IPO, kita ada sekuriti. Kita boleh bantu lebih ramai orang, bukan hanya pekerja kita – tapi juga pelanggan, pembekal, dan komuniti sekeliling,” tambahnya.
Walaupun berpangkalan di Kelantan, Nasken kini mempunyai cawangan di pelbagai negeri termasuk Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu.
Yang menariknya, strategi pengembangan mereka bukan bergantung semata-mata kepada kawasan bandar utama.
“Kita nak jadi hero di kampung dulu. Bila dah kukuh di kampung, baru kita ke seluruh Malaysia. Sekarang ni, kita tengah kuatkan asas di Kelantan dan InshaAllah, kita sasar buka di KLIA2 Gateway Ogos nanti dan selepas tu kita sasarkan Timur Tengah, mungkin bermula dengan Madinah,”katanya.
Menjawab persoalan tentang persaingan dalam pasaran kafe dan makanan, Mohd Nazif tegas bahawa Nasken tidak cuba meniru mana-mana jenama besar.
“Kita bukan nak bersaing dengan sesiapa. Kita ada identiti kita sendiri. Kita ada kek, kita ada makanan berat, kopi semua segar, semua dari dapur sendiri. Kita bukan sekadar kopi. Kita bawa cerita, suasana dan nilai,” tegasnya.