IPOH: “Keadaan kami ketika itu bertindih-tindih, macam orang buang barang, berlongggok,” ujar Koperal Nizam Tarmizi, 38.
Nizam merupakan seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terselamat dalam nahas membabitkan kenderaan pasukan dan lori muatan batu di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, Teluk Intan Selasa lalu.
Menceritakan kemalangan tragis itu, Nizam berkata, dia dan rakan-rakannya dalam keadaan santai di dalam kenderaan sebelum lori dinaiki mereka seolah-olah ‘tersentak’ diikuti dentuman kuat dan laungan Allahuakbar.
Katanya, dia tidak tahu apa yang berlaku dan tersedar daripada pengsan dalam keadaan terbaring di atas tubuh rakan-rakan.
“Saya pengsan dalam tempoh beberapa saat dan apabila sedar saya lihat kami semua sudah bertindih-tindih dan terhimpit ke depan. Ketika itu tidak kedengaran pun suara kawan-kawan.
“Keadaan mereka ketika itu longlai dengan mulut berdarah. Saya nampak rakan dari kenderaan lain datang untuk selamatkan kami dan dalam keadaan mamai saya sempat minta tolong mereka,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, di sini semalam.
Menurut Nizam, dia tidak menyangka jenakanya meminta Allahyarham Koperal Pozli Jaudin mengambil gambar kenangan bersama Trup C menjadi gurauan terakhir mereka.
“Dalam lori ada dua anggota yang akan bertukar trup, salah seorangnya arwah Pozli. Jadi, saya cakap pada dia ambillah gambar banyak-banyak sebab selepas ini dia tak boleh ikut kami lagi, ini mungkin tugasan terakhirnya bersama Trup C.
“Dia cakap betul juga dan ikut ambil gambar. Tak sangka itu gurauan terakhir saya dengan arwah,” katanya.
Nizam mengakui, sehingga kini dia masih terkenangkan rakan-rakannya yang terkorban dan menyifatkan suasana kerja selepas ini pasti tidak sama seperti biasa.
“Kami memang rapat dan kerap bersukan sama-sama. Pagi sebelum bergerak ke Ipoh pun arwah Pozli, arwah Amir (Koperal Amiruddin Zabri) dan arwah Hilmi (Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan) sempat main bola tampar.
“Lepas ini tiada lagi orang yang akan ajak kami main, biasanya Amir yang ajak,” katanya yang bertugas di Unit 5 sejak 10 tahun lalu. – UTUSAN