PETALING JAYA: “Jika benar majoriti doktor swasta setuju dengan penggunaan Akta 723 terhadap hospital dan klinik swasta, kenapa kami hendak berdemonstrasi?,” soal Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim).
Presiden, Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa majoriti pemegang taruh bersetuju dengan arahan tersebut adalah tidak benar kerana perhimpunan aman pada Selasa itu dianjurkan sendiri oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Katanya, bantahan itu bukanlah berkaitan arahan memaparkan harga ubat, sebaliknya ketidak puas hati terhadap penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
“Akta 723 yang diguna pakai memperuntukkan kompaun sebanyak RM50,000 bagi kesalahan pertama atau dua tahun penjara dan meningkat kepada RM100,000 bagi kesalahan kedua.
“Isunya, kenapa perlu menggunakan akta bukan perubatan untuk arahkan fasiliti swasta memaparkan harga ubat, keluarkanlah sahaja pekeliling,” katanya membalas kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Dr. Azuana Ramli bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta 723 berkuat kuasa 1 Mei dilakukan selepas mengambil kira pandangan majoriti pemegang taruh iaitu pengguna dan fasiliti kesihatan swasta.
Dr. Boi Saidi berkata, ubat bukan barangan terkawal dan tidak mempunyai harga siling dan ia boleh jadi berbeza-beza atas pelbagai faktor termasuk ditentukan panel insurans pesakit.
“Bukan kami tentukan harga ubat, takkan disebabkan harga berbeza 50 sen, mereka penjarakan doktor. Tindakan ini seperti membuli doktor di sektor swasta,” katanya.
Pelaksanaan Akta 723 juga dilihat terburu-buru kerana arahannya tidak jelas.
“Mereka arahkan kami memaparkan harga ubat, tetapi tiada prosedur operasi standard (SOP). Bagaimana hendak kuat kuasa jika arahan tidak jelas,” katanya.
Minggu lalu, akhbar melaporkan sekumpulan doktor sektor swasta akan mengadakan perarakan di Putrajaya Selasa ini bagi menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan Akta 732. – UTUSAN