KUALA NERUS: Tawaran Kad Pekerja Madani yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu dijangka menarik minat lebih ramai pekerja mendaftar sebagai anggota kesatuan sekerja.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Pekerja Malaysia, Mohd. Asri Abdul Wahab berkata, kad pekerja tersebut yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus di lebih 100 syarikat diberikan kepada pekerja yang menjadi anggota sekerja.
Katanya, jumlah keanggotaan kesatuan pekerja yang direkodkan setakat pada tahun lalu ialah seramai 1,038,435 orang berbanding 1,008,371 ahli pada 2023.
Katanya, pihaknya sebelum ini menyasarkan peningkatan jumlah keanggotaan kesatuan pekerja baharu seramai 50,000 setahun.
“Harapan kita dengan adanya Kad Pekerja Madani yang dilancarkan Perdana Menteri dapat menarik lebih ramai ahli baharu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 Peringkat Zon Timur di sini, hari ini.
Mohd Asri berkata, bantuan kerajaan sebanyak RM10 juta bagi pelaksanaan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) juga dijangka menarik ramai keanggotaan sekerja baharu.
Katanya, peruntukan tersebut diberikan kepada PHEKS untuk disalurkan kepada kesatuan sekerja bagi menjalankan aktiviti-aktiviti memanfaatkan ahli.