PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Justin Bieber menafikan dirinya pernah menjadi mangsa kepada penyanyi hip hop, Sean “Diddy” Combs, yang kini berdepan dengan tuduhan jenayah seksual.
Memetik laporan TMZ, wakil Bieber mengesahkan bahawa penyanyi itu tidak pernah menjadi mangsa dalam sebarang salah laku melibatkan Combs, sebaliknya memberi sokongan penuh terhadap individu yang menjadi mangsa.
“Justin Bieber bukanlah antara mangsa Sean Combs, namun begitu ada individu lain yang benar-benar dianiaya olehnya.
“Menukar fokus kepada spekulasi tidak berasas akan menjejaskan usaha mangsa yang terlibat dari menuntut keadilan,” katanya.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan Combs dan Bieber meluangkan masa bersama sehingga mencetuskan spekulasi di kalangan pengguna media sosial.
Combs, yang 24 tahun lebih tua, dilihat menyokong awal kerjaya Bieber dengan beberapa penampilan bersama di acara hiburan dan persembahan.
Selain itu, mereka turut muncul bersama dalam program Jimmy Kimmel Live pada 2011 dan bekerjasama dalam lagu Moments pada 2013.
Combs kini berdepan lima pertuduhan jenayah termasuk konspirasi jenayah terancang, pemerdagangan seks dan pelacuran.-UTUSAN