DUNGUN : Seorang juruteknik maut selepas van yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 88 Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Bandar Al Muktafi Billah Shah, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, Muhammad Aliff Fakhrullah, 21, yang berasal dari Kampung Paman, Kemaman, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah di beberapa bahagian badan ekoran tersepit di tempat duduk pemandu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong kenderaan lain, sebelum bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan van dipandu mangsa remuk teruk dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya hari ini. – UTUSAN