PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga Bangladesh mengaut keuntungan antara RM45,000 hingga RM50,000 sejak enam bulan lalu hanya dengan mencetak e-Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.
Aktiviti licik lelaki berusia 30 tahun itu berakhir apabila dia ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Tun Tan Stew Sin, Kuala Lumpur pagi semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan pukul 9.30 pagi itu, suspek ditahan ketika sedang memproses e-PLKS palsu melalui sebuah komputer peribadi.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa keping e-PLKS palsu yang telah dicetak dan beberapa naskhah pasport asing.
“Siasatan awal mendapati, modus operandi suspek adalah menawarkan e-PLKS kepada pelanggan dengan bayaran sebanyak RM50 sekeping di mana suspek memproses serta mencetak sendiri e-PLKS berkenaan.
“Suspek juga turut membuat pemalsuan salinan dokumen pendaftaran dan surat berkaitan pemiagaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Dalam serbuan kedua di Jalan Masjid, Kuala Lumpur pula, Zakaria berkata, pihaknya menahan tiga warganegara India berumur antara 39 hingga 64 tahun yang memiliki sejumlah besar pasport asing tanpa kuasa yang sah.
Menurutnya, hasil dua serbuan itu, sebanyak 504 naskhah pasport asing pelbagai negara, empat komputer peribadi dan empat mesin pencetak dirampas.
“Turut dirampas termasuk 23 keping kad CIDB, beberapa keping e-PLKS palsu, 40 keping i-Kad, serta wang tunai berjumlah RM94,332,” katanya.
Zakaria berkata, semua warganegara asing ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut subseksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan subseksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
Jelasnya, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan selanjutnya. – UTUSAN











