ISKANDAR PUTERI: Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bukan faktor peningkatan kos sara hidup di negeri ini, sebaliknya merupakan senario nasional dan global.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peningkatan harga barangan dan kos sara hidup akan tetap berlaku dan dirasai rakyat sama ada JS-SEZ wujud atau tidak, namun kerajaan negeri komited memastikan kesannya dapat dikurangkan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.
“Disebabkan itu kita usaha lakukan Program Bakul Rakyat, Jualan Kasih, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) serta mengawal barang subsidi seperti minyak masak paket demi manfaat rakyat,” katanya menjawab soalan Muszaide Makmor (BN-Sedili) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Onn Hafiz memberitahu, majoriti syarikat antarabangsa yang melabur bersetuju memberikan gaji berkualiti dengan pengambilan tenaga kerja tempatan.
Katanya, antara perkara utama ditanya adalah gaji ditawarkan kepada rakyat tempatan, majoriti bersetuju kelulusan diploma ditawarkan gaji RM3,500, manakala kelulusan ijazah RM4,000.
“Namun ada syaratnya, iaitu produktiviti perlu selari dengan gaji diberikan serta ilmu kemahiran perlu terus ditingkatkan dengan keperluan industri,” katanya.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap yakin Johor mampu merekod Pelaburan Langsung Asing (FDI) melebihi RM60 bilion tahun ini.
“Pada suku pertama, kita telah rekod FDI RM27.4 bilion, manakala April sahaja kita rekod RM23 bilion. Insya-Allah kita yakin dapat capai RM60 bilion menjelang akhir tahun ini, itu sasaran kita.
“Menerusi JS-SEZ ini, kita bukan hanya menjalin kerjasama dengan syarikat Singapura, malah dalam tempoh 12 bulan kita telah berkunjung ke Jepun, China, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar,” katanya. – UTUSAN