PETALING JAYA: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) belum menerima permohonan rasmi daripada pengusaha mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan ulasan teknikal bagi pembangunan atau aktiviti pengoperasian kafe di dalam Gua Cenderawasih, Bukit Lagi, Kangar, Perlis.
Mengikut prosedur, sebarang pembangunan perlu dirujuk kepada JMG oleh PBT sebagai agensi teknikal di bawah Jawatankuasa Pusat Sehenti (OSC) bagi sebarang pembangunan fasiliti di tapak warisan geologi.
Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menekankan bahawa pembangunan di sekitar bukit batu kapur hendaklah dirujuk kepada Garis Panduan Penentuan Zon Bahaya sekitar Bukit Batu Kapur yang diterbitkan olehnya bagi memastikan keselamatan orang awam.
Katanya, sebagai agensi teknikal bertanggungjawab dalam pembangunan geopark di peringkat nasional, JMG terus komited mengenal pasti, memulihara dan memberi khidmat nasihat teknikal berkaitan dengan pemuliharaan dan pengurusan sumber geologi termasuk geotapak bernilai tinggi.
“JMG juga menyarankan agar Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021–2030 (PPGN 2021–2030) dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-42 dijadikan panduan utama dalam sebarang pembangunan geopark termasuk di Perlis Geopark.
“JMG akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan pembangunan dilakukan secara berhemah dan lestari, sejajar dengan prinsip pembangunan tanpa kemusnahan,” katanya hari ini.
Menurutnya, isu itu timbul apabila terdapat pembangunan fasiliti komersial di dalam Gua Cenderawasih yang telah menimbulkan kebimbangan berkaitan kesan terhadap pemuliharaan warisan geologi dan aspek keselamatan geo bencana.
Katanya, gua itu terletak dalam geotapak Bukit Lagi iaitu sebahagian daripada Kawasan Perlis Geopark dan pemuliharaannya selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam semula jadi demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Geotapak Bukit Lagi terbentuk daripada batu kapur Formasi Setul yang berusia lebih 480 juta tahun dan kaya dengan pelbagai jenis fosil seperti nautiloid, gastropod, dan brakiopod.
“Kawasan ini turut menampilkan ciri geologi unik seperti takik laut purba, gua-gua kecil, dan struktur batuan berbentuk cendawan serta tengkorak. Justeru, ia merupakan khazanah warisan geologi negara yang bernilai tinggi serta menjadi rujukan penting kepada saintis dalam dan luar negara,” katanya.
Tambahnya lagi, tindakan seperti mengecat dinding gua, membina struktur kekal serta menutupi formasi geologi semula jadi termasuk fosil dan stromatolit seperti yang dilaporkan oleh media, pasti boleh menjejaskan nilai saintifik dan estetik kawasan tersebut.
“Dalam konteks pembangunan geopark, semua aktiviti nilai tambah perlu selari dengan tiga elemen utama iaitu pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan lestari,” katanya.-UTUSAN